bg

Thursday, December 2, 2010

Selamat kembali para jemaah haji....semoga mendapat haji yang mabrur...

MENYAMBUT KEPULANGAN JEMAAH HAJI
Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata’ala di dunia mahupun di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,

Agama Islam telah mengajarkan adab-adab yang digalakkan untuk melakukannya ketika menyambut kepulangan jemaah haji, antaranya kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpelukan sambil mengucapkan yang maksudnya : ‘Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampunkan dosa engkau serta menggantikannya perbelanjaan yang telah engkau keluarkan’.

Dalam perkara bersalaman dan berpelukan itu, perlulah diingat bahawa hendaklah di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja atau sama muhrimnya sahaja. Selain dari itu, adalah elok juga bagi mereka yang menyambut ketibaan orang haji itu meminta doakan kepada orang-orang yang baru balik haji kerana doa mereka adalah mustajab, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

“Dari Ibnu Umar Radiallahuanhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Ta’ala (doanya adalah dimakbulkan)” – Riwayat Al-Imam Ahmad

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah, sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan sembahyang sunat dua rakaat. Dan apabila sampai ke rumahnya pula, dia bersembahyang lagi dua rakaat dan berdoa serta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas selamatnya dia kembali ke pangkuan kaum keluarganya.

Demikianlah wahai kaum Muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji dan orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan janganlah melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam semata-mata hanya untuk mengikut kebiasaan dan adat resam. Janganlah sampai kita melakukan perkara-perkara yang dianggap bidaah sayyiah atau bidaah dhalalah, yang boleh menyebabkan kita masuk neraka, Na’uzubilllahi min zalik.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga jemaah haji mendapat haji yang mabrur. Amin Ya Rabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali ‘Imran ayat 31 tafsirnya :
“Katakanlah wahai Muhammad, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi”.

No comments:

Post a Comment