bg

Tuesday, December 7, 2010

Bekas Paderi Yusuf Estes terima hidayah dalam satu malam....



HIDAYAH datang tanpa disangka. Walau sehebat mana sekalipun menangkis, namun atas kehendak Allah s.w.t., maka kita akan menerimanya dengan hati yang reda. Begitulah yang melanda kehidupan seorang paderi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Yusuf Estes hingga beliau menerima Islam sebagai pengabadian hidup.

“Ramai orang bertanya kepada saya, bagaimana pengkhutbah atau paderi boleh memeluk Islam terutamanya setelah mengetahui semua perkara negatif mengenai Islam hampir setiap hari. Bagaimanapun, saya menyifatkan pengislaman ini sebagai perkara yang cukup berharga setelah menerima hidayah Allah s.w.t,” ujarnya yang merupakan paderi tentera di Penjara Awam AS.

Yusuf Estes dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kuat pegangan Kristian di Midwest. Keluarganya bukan sahaja membina gereja dan sekolah tetapi merupakan orang pertama yang meneroka kawasan tersebut. Beliau masih berada di sekolah rendah semasa ditempatkan di Houston, Texas pada 1949.

“Saya selalu mengikut keluarga ke gereja dan dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas. Sebagai remaja, minat untuk mengunjungi gereja-gereja lain dan mendalami ajaran dan kepercayaan Kristian semakin bercambah.

“Pada masa yang sama, saya turut berminat mengkaji agama lain termasuklah Hindu, Yahudi, Buddha, Metafizik dan kepercayaan asal orang Amerika. Tetapi entah kenapa, saya tidak mengkaji Islam secara serius berbanding agama-agama tersebut,” ceritanya mengimbas kenangan yang membawanya mengenali agama Islam.

Membesar dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat pada agama, sedikit sebanyak membuatkan Yusuf cenderung kepada genre muzik Gospel dan klasik. Akhirnya, beliau memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan dengan muzik dan agama.

Bakatnya itu membawa beliau dilantik sebagai paderi muzik di beberapa buah gereja dan kemudiannya mula mengajar keyboard pada 1960. Beliau berjaya memiliki studionya sendiri pada 1963 dengan nama Studio Muzik Estes di Laurel, Maryland.

Selama 30 tahun, beliau dan ayahnya bergandingan menguruskan projek perniagaan yang berasaskan hiburan dan persembahan. Beliau turut membuka stor piano dan organ dari Texas dan Oklahoma hingga ke Florida. Akui Yusuf, bisnesnya amat menguntungkan tetapi beliau tidak menemui ketenangan jiwa.

Namun pada 1991 ketika berumur 54 tahun, beliau menemui bahawa kepercayaan mengenai agama Islam terkandung di dalam kitab Injil. Baginya, ini adalah sesuatu yang melampau dan di luar dugaan terutama apabila beliau mendapati pembawa kitab Injil yang digunakan untuk mengembara seluruh dunia terlalu membenci Islam.

Menurut Yusuf, ayahnya bergiat aktif dengan menyokong aktiviti gereja terutama program sekolah di gereja dan ditahbiskan sebagai paderi pada 1970. Kemudian ayah dan ibu tirinya mengenali banyak paderi dan mengunjungi Oral Roberts dan membantu dalam pembinaan Prayer Tower di Tulsa. Mereka juga adalah penyokong kuat Jimmy Swaggart, Jim dan Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi termasuklah musuh ketat bagi orang Islam, Pat Robertson.

“Mereka turut menerbitkan kaset puji-pujian dan mengedarkannya secara percuma ke beberapa rumah warga tua dan hospital. Pada 1991 juga, beliau memulakan bisnes dengan seorang lelaki yang berasal dari Mesir. Ayah mahu saya berjumpa dengannya.

“Dalam kepala, saya terbayangkan tentang piramid, Sungai Nil dan segala keindahan yang terdapat di Mesir. Tetapi, setelah ayah memberitahu saya bahawa lelaki ini adalah Islam, hati saya tersentak. Bagaimana ayah boleh mempercayai individu yang menganut agama yang menyuruh umatnya menjadi pengganas dan pengebom berani mati? Saya tidak mahu berjumpa dengan lelaki ini hanya kerana dia adalah Muslim!” kata Yusuf.

Bagaimanapun ayahnya tetap memaksa beliau berjumpa dengan lelaki itu yang bernama Mohamed Abel Rehman dengan menyifatkannya seorang lelaki yang baik. Apabila menemuinya, Yusuf amat terkejut kerana penampilan Mohamed jauh meleset daripada sangkaannya.

“Saya selalu mengandaikan bahawa lelaki Islam mestilah berjanggut dan memakai serban di atas kepalanya tetapi penampilannya jauh berbeza. Dia amat ramah dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Walaupun begitu, saya berpendapat, dia perlu diselamatkan,” cerita Yusuf mengenai pertemuannya dengan lelaki tersebut.

Kesempatan bertemu dengan Mohamed, Yusuf mengajukan beberapa soalan berkaitan agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Mereka kemudiannya berbual panjang dan mendapati Mohamed sangat mesra dan tidak menyampuk semasa Yusuf bercakap. Oleh itu, beliau berpendapat, yang Mohamed akan menjadi penganut Kristian yang baik.

Buat pertama kalinya, beliau bersetuju dengan pandangan ayahnya yang mahu melakukan urusan bisnes dengan lelaki yang berasal dari Mesir itu dan bercadang mengajaknya untuk mengikuti trip perniagaan ke Texas.

Peluang untuk menarik Mohamed kepada agama Kristian terbuka luas apabila Mohamed ingin berpindah keluar daripada rumah yang didudukinya dan bercadang tinggal di masjid buat sementara waktu. Yusuf memohon kebenaran dari ayahnya agar Mohamed tinggal di rumahnya supaya dapat menguruskan perniagaan dengan lancar.

Kesibukan dengan perniagaan tidak menghalang Yusuf menziarah rakan-rakan paderinya yang menetap sekitar Texas termasuklah salah seorang rakannya yang dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit jantung. Beliau membawa Mohamed melawat rakannya yang terlantar sakit itu dengan harapan dapat berkongsi pandangan mengenai agama. Tetapi rakannya tidak berminat mengenai Islam.

Bagaimanapun suatu hari, Yusuf didatangi seorang lelaki yang berkerusi roda dan merupakan teman sebilik rakannya. Melihat keadaan dan sikapnya, beliau dapat mengagak bahawa lelaki tersebut dalam kesunyian dan memerlukan seseorang untuk membantunya.

“Saya pergi kepadanya dan berkongsi cerita mengenai kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan paus dan tenggelam di laut tetapi tiga hari kemudian, Nabi Yunus timbul semula dan kembali ke bandarnya dengan selamat. Pengajaran daripada kisah di atas ialah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Selepas berkongsi cerita dengannya, lelaki itu memandang saya dan memohon maaf di atas sikapnya yang kurang sopan dan pernah berhadapan dengan masalah serius beberapa tahun lalu. Kemudian dia ingin membuat pengakuan tetapi saya bukan paderi Katolik.

“Saya terperanjat apabila lelaki itu mengaku bahawa dia adalah paderi Katolik yang dikenali sebagai Father Peter Jacob. Saya memanggilnya Pete. Dia kemudiannya berkongsi kisah hidupnya dengan saya semasa menjadi mubaligh Kristian selama 12 tahun ke serata AS dan Mexico.

Apabila dia dibenarkan keluar daripada hospital, saya mengajaknya tinggal bersama kami. Pete turut menceritakan bahawa paderi Katolik turut mendalami Islam dan ada sebahagiannya memiliki Doktor Falsafah dalam bidang berkenaan,” ceritanya panjang lebar.

Sejak Pete tinggal bersama mereka, Yusuf dan keluarganya membincangkan mengenai Kristian sewaktu makan malam sebagai usaha untuk menarik Mohamed kepada agama tersebut. Yusuf juga menyoal Mohamed mengenai jumlah versi al-Quran yang diturunkan sejak 1,400 tahun lalu. Mohamed menyatakan bahawa hanya ada satu sahaja al-Quran dan tidak ada versi yang lain. Malah al-Quran adalah kitab panduan yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Selepas melalui banyak perbincangan mengenai agama, Pete berminat mengikut Mohamed ke masjid semata-mata ingin melihat aktiviti di sana. Mereka pulang awal dan Pete memberitahu Yusuf, tidak ada apa yang istimewa melainkan jemaah mendirikan sembahyang di masjid dan pulang ke rumah setelah selesai. Namun, beberapa hari kemudian, Pete menyatakan hasrat yang serupa.

“Hari sudah larut malam tetapi mereka masih belum balik. Akhirnya setelah lama menunggu saya terdengar ketukan di pintu dan sebaik membukanya, saya terkejut melihat lelaki di sebelah Mohamed yang memakai jubah dan ketayap berwarna putih dan amat mengenalinya. Rupanya lelaki itu ialah Pete! Oh Tuhan, saya memang terkejut bagaimana Pete boleh tertarik kepada Islam,” ujar Yusuf tentang perubahan yang berlaku ke atas Pete.

Yusuf yang tidak berpuas hati mendapatkan isterinya untuk bertanyakan hal tersebut. Tambah mengejutkan apabila isterinya turut tertarik dengan Islam kerana di situ terletak kebenaran yang dicari-carinya sekian lama. Untuk mendapatkan kepastian, beliau mendapatkan Mohamed dan mengajaknya berbincang di luar.

“Kami keluar berjalan dan bercakap sepanjang malam hinggalah tiba waktu bagi Mohamed untuk mendirikan solat Subuh. Ketika itu, saya tahu yang kebenaran sudah tiba akhirnya dan kini adalah masanya untuk saya memainkan peranan.

“Saya pergi ke bahagian belakang rumah dan mendapatkan papan lapis dan bersujud di atasnya seperti orang Islam bersembahyang. Saya kemudiannya berdoa, ‘Ya tuhanku, sekiranya engkau ada, berikanlah aku panduan.’ Apabila saya mengangkat kepala, hati saya mula terdetik sesuatu. Tiada pari-pari atau burung berterbangan di langit atau bunyi muzik tetapi, saya sedar ada sesuatu telah berubah,” jelasnya. Yusuf kemudiannya naik dan mandi dengan harapan membersihkan diri daripada segala dosa yang membelenggu hidup saya selama ini. Saya seolah-olah memulakan hidup baru yang berpaksikan pada kebenaran Islam.

Tanpa menunggu masa yang lama, pada pukul 11 pagi itu juga, Yusuf melafazkan dua kalimah syahadat dengan bersaksikan Pete dan Mohamed. Malah, isterinya turut mengikut jejak yang sama. Selang beberapa bulan, ayahnya juga memilih untuk memeluk agama Islam. Yusuf tidak dapat membayangkan betapa indahnya, saat-saat mereka mendirikan sembahyang berjemaah di masjid bersama para jemaah yang lain.

Selepas memeluk Islam, beliau mengeluarkan anak-anaknya daripada sekolah Kristian kepada sekolah untuk pelajar beragama Islam. Datuknya adalah orang terakhir dalam keluarga mereka yang melafazkan dua kalimah syahadat.

“Islam terlalu istimewa kerana berupaya menarik paderi seperti saya, Pete dan ayah yang selama ini kuat pada pegangan agama Kristian. Hanya dengan keagungan-Nya, kami diberi panduan untuk melihat kebenaran Islam tanpa membutakan mata dan hati masing-masing. Selepas 10 tahun, anak-anak saya juga sudah boleh menghafaz al-Quran dengan baik.

“Islam telah mengubah cara saya melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna,” ujarnya mengenai kehidupannya selepas bergelar Muslim.

Kepada semua banduan…menjadi mayat adalah tanda kita keluar dari “penjara dunia”, langkahan kaki kita adalah langkahan maut..menuju tempat menjadi mayat… Aku telah lama berkelakar.. hari ini kamu ketawakan aku.. bukankah kita semua akan menjadi mayat... Dan menjadi mayat juga adalah satu satunya cara berjumpa dengan Allah.. Tidak mahukah kita ingin berjumpa dengan pencipta kita ?t

Monday, December 6, 2010

nostalgia dolu-dolu...

teringat zaman persekolahan dulu ada sesi nyanyian bila nak dekat habis kelas, cikgu akan panggil anak murid yang suka nyanyi dansaya masih ingat lagi ini lah lagu yang saya nyanyikan semasa darjah lima tahun 1970...al-fatihah untuk cikgu Ariffin...

selamat tahun baru hijrah...

Assalamualaikum...selamat tahun baru 1432hijrah....semoga ada keberkatan pada diri dan kita semua...semoga 12 bulan mendatang penuh cemerlang,52 minggu penuh kebahagian,365 hari penuh keberkatan,8760 jam terisi kasih sayang,525600 saat penuh senyuman...semoga hidup penuh keberkatan dan keimanan yang tinggi..aminnnn.......ikhlas dari saya dan keluarga tercinta.....

Sunday, December 5, 2010

doa akhir dan awal tahun hijrah....

Doa Akhir Tahun :

Ya Allah, sesungguhya pada sepanjang tahun yang telah  kami lalui ini ,telah banyak laranganMu dan perintahMu yang kami engkar dan kami berdosa kepadaMu ya Allah tetapi kami masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak redha dan Engkau tidak pernah lupa akan dosa-dosa kami itu bahkan Engkau  menangguhkan azabMu yang telah engkau tetapkan kepada kami.

Ya Allah Engkau yang telah memerintahkan supaya kami sentiasa bertaubat dari kesalahan dan dosa,maka sesungguhnya kami memohon keampunan dariMu, ampunilah kami dari apa-apa kesalahan dan dosa yang telah kami lakukan pada sepanjang tahun yang telah kami lalui begitulah juga dengan apa yang telah kami lakukan yang telah Engkau redhai dan yang Engkau janjikan pahala nya kepada kami maka kami memohon daripada Mu Ya Allah. Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Ya Allah ya tuhan kami ampuni seburuk manapun kelakuan kami. Ampuni segelap apapun masa lalu kami. Dan  Ampuni sehina apapun aib-aib kami.
Ya Allah yang Maha Mendengar lagi maha Mengasihani, ampuni kedua orang tua kami. Ampuni segala kezaliman kami kepada ibu-bapa kami. Andainya kedurhakaan kami menjadi bebanan dan penggelap kepada kehidupan mereka, maka jadikanlah kami  ini menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang dapat menjadi cahaya bagi kehidupan orangtua kami, di dunia dan di akhirat
Ya Allah Lapangkan kubur mereka, terangi kubur mereka , permudahkan hisab mereka dan jadikan mereka ahli surga-Mu, ya Allah.

Ya ALLah sebagai seorang anak kami memohon kepada Mu Ya Allah ampunilah segala dosa-dosa kedua orang tua kami semasa mereka hidup mereka, ya Allah, darah daging mereka melekat pada tubuh kami ini ya Allah , air mata mereka mengalir pada mata kami dan  keringat mereka membasahi tubuh-tubuh kami.. Ya Allah jadikanlah kami  anak-anak yang tahu membalas budi dan jasa kedua orang tua kami.

Ya Allah ya tuhan kami, Ampuni jiran tetangga kami dan  sahabat-sahabat kami. Ampuni lah juga para pemimpin kami atas dosa-dosa mereka.

Doa Awal  Tahun :

Ya Allah Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu  Ya Allah yang Maha Agung serta kemurahanMu Ya Allah, sesungguhnya pada tahun yang akan datang yang akan kami lalui ini kami memohon kepadaMu agar kami diberi perlindungan daripada syaitan yang derhaka, perlindungan dari sekalian tenteranya dan penolongnya. Kami juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong kami ke arah kejahatan dan yang melalaikan kami dengan perkara yang tidak berfaedah dan yang melalaikan kami daripada mendekatkan diriku kepadaMU.

Ya Allah untuk hari-hari yang akan kami lalui ini selamatkan seluruh keluarga kami. Jangan biarkan keluarga kami menjadi sumber bencana dan kemurkaanMu Ya Allah. Berilah hidayah bagi yang belum mengenal-Mu. Jangan biarkan keluarga kami bercerai berai, jangan jadikan keluarga kami hina di dunia, dan dihina di akhirat.

Ya Allah Ya Rabb , selamatkan guru-guru kami, selamatkan para ulama yang telah mewakafkan hidupnya di jalan-Mu. Selamatkan orang-orang yang mendoakan kami,yang secara terang-terangan maupun yang tersembunyi. Ya Allah, jadikan kami seorang pemaaf yang tulus. Ampuni kezaliman kami terhadap diri kami sendiri. Ampuni segala kemaksiatan yang pernah kami lakukan. Bersihkan diri kami dari lumuran dosa-dosa ya Allah, yaa Karim, ya Ghafur.

Ya Allah Jangan biarkan  kami dipimpin oleh orang-orang yang tidak mengenal-Mu,jangan biarkan kami dipimpin oleh orang yang derhaka kepadaMu . Jadikan bangsa kami dipimpin oleh orang-orang yang sholeh, orang-orang yang amat mencintai-Mu, mencintai hamba-hamba-Mu, mencintai agama-Mu, juga mencintai hidup lurus di atas jalan-Mu.

Ya Allah berikan kelapangan bagi yang dihimpit kesusahan. Ya Allah berikan jalan keluar bagi yang dihimpit kesulitan, beri kecukupan bagi yang selalu kekurangan. Ya Allah mudahkan bagi mereka yang hidupnya dibebani hutang dan jangan biarkan kami mati dalam keadaan berhutang. Tolonglah kami, dan kasihilah kami ya Rahman.

Ya Allah, Engkau angkatkan  darajat mereka yang selalu dihina dan direndahkan. Lindungi kaum muslimin dan muslimat yang terancam dan teraniaya. Ya Allah tolonglah para pejuang di jalan-Mu walau dimanapun mereka berada, tolonglah para mujahidin dan mujahidah yang siang malam memuliakan agama-Mu, jauhkan mereka dari bala dan bencana. Kurniakan atas mereka kekuatan dan kesabaran.

Ya Allah Kurniakan bagi keluarga-keluarga kami, rumah-tangga yang sakinah. Jangan biarkan rumah-tangga kami menjadi rumah-tangga yang penuh bencana. Ya Allah, kuniakan kepada kami keturunan yang lebih baik daripada kami . Jangan Engkau biarkan Ya Allah  anak-anak yang mencoreng aib di wajah kami. Ampunilah kami jika kami salah mendidik mereka,  Ya Allah, jangan biarkan anak-anak kami menghujah dan menyalahkan kami kelak di akhirat. Ya Allah Engkau teguhkan kemuliaan mereka di dunia, dan teguhkan juga kemuliaan mereka di surga. Ya Allah Hanya Engkaulah yang menguasai segala-galanya.

Ya Allah, jadikan umur kami yang berbaki ini menjadi seindah-indah umur. Jadikan kami ini ahli solat yang khusyu, ahli tahajjud yang ikhlas, ahli shaum yang redha dan jangan biarkan kami jauh dari Al-Qur`an dan berilah kepada kami kekuatan untuk membacanya  setiap hari pada waktu siang dan waktu malam. Jadikan kami di umur yang masih berbaki  ini menjadi ahli sedekah yang tulus dan  ahli `amal yang istiqamah.

PERINGATAN

Pada hakikatnya kedua-dua lafaz doa ini serta fadhilat yang ditetapkan itu tidak pernah wujud dalam mana-mana kitab-kitab hadis dan tidak ada juga hadis walaupun yang bertaraf lemah (dha’if) mahupun palsu (mawdhu’) yang mengkhabarkan tentangnya. Menurut Syeikh Jamaluddin al-Qasimi r.h doa ini ialah doa yang direka dan tidak berasal daripada Nabi s.a.w. tidak juga berasal daripada para sahabat, tabi’in dan tidak diriwayatkan dalam musnad-musnad sehinggakan ianya tidak wujud dalam kitab maudhu’at (iaitu kitab yang memuatkan hadis-hadis palsu). Doa ini hanya dicipta oleh syeikh jadi-jadian. Dan perkataan “berkatalah syaitan kesusahanlah bagiku dan sia-sialah pekerjaanku pada setahun ini dibinasakan dengan satu saat jua dengan sebab membaca doa-doa ini” merupakan suatu pembohongan yang sangat besar ke atas Allah dan Rasul-Nya.

Tetapi sekiranya sesiapa yang hendak membacanya tanpa beri'tiqad seperti yang ada di dalam fadhilat yang direka tersebut silakan, kerana ia termasuk di dalam keumuman doa, dan perlu diingat tidak ada upacara khas atau dibaca beramai-ramai (untuk membaca doa tersebut).

Hendaklah kita sentiasa berdoa memohon keampunan daripada Allah S.W.T., memohon perlindungan dari hasutan syaitan, memohon perlindungan dari mengerjakan perbuatan maksiat dan memohon agar kita sentiasa terbuka hati untuk mengerjakan amal-amal soleh. Menetapkan doa-doa tertentu, dibaca pada waktu tertentu dengan fadhilat-fadhilat yang tertentu tanpa perintah daripada Allah dan Rasul-Nya merupakan satu perbuatan mencipta hukum syarak yang baru dan perbuatan ini adalah diharamkan. Firman-Nya:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. – al-An’aam (6) : 153
Selanjutnya Allah S.W.T. menegaskan lagi hal ini melalui firman-Nya:
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya-fitrah) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. – al-Rum (30) : 30

Maksud melakukan perubahan terhadap ciptaan Allah dalam ayat di atas adalah mengubah agama Islam seperti menambah-nambah satu upacara ibadah yang tiada sandarannya dari al-Qur’an dan al-Sunnah iaitu dengan mengamalkan amalan bidaah seperti mengkhususkan amalan-amalan yang tertentu sempena kedatangan tahun baru hijrah. Adalah penting bagi kita untuk memastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan amal ibadah sebelum kita mengamalkannya. Ini adalah kerana setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah:

Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. seperti ibadah tertentu sempena kedatangan bulan Muharram ini pada hakikatnya ia bukan sebahagian dari agama pada masa itu. Sekira ianya bukan sebahagian dari agama pada zaman Rasulullah s.a.w. maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata:
Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. - al-Maaidah (5) : 3
Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.